Pembunuhan Birch Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Shah ibni al-Marhum Sultan Abdullah Muhammad Shah I

Pada tahun 1877, Sultan Abdullah Muhammad Shah II telah berangkat ke Singapura kerana dipanggil oleh Kerajaan British berhubung dengan penyiasatan pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak, baginda telah dijadikan Pemangku Raja bagi Negeri Perak dan baginda berpindah ke Sayong.

Pada tahun 1877, Raja Idris Shah I ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar dibenarkan berangkat pulang ke Perak dari Singapura untuk membantu mertuanya, Pemangku Raja Raja Yusuf, untuk memerintah Negeri Perak. Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Bendahara Perak.

Berikutan dengan itu, sebuah Majlis Mesyuarat Negeri (atau lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai 'Perak State Council') yang ahli-ahlinya terdiri daripada Raja Yusuf (Pemangku Raja) sebagai Yang Dipertua, Hugh Low (Residen British), Raja Idris (Raja Bendahara), Temenggung, Che Karim (orang besar dari Selama), Kapitan Chung Keng Kwee (Ketua Kumpulan Cina Ho Kuan atau Hai San) dan Kapitan Chin Ah Yam (Ketua Kumpulan Cina Si Kuan atau Ghi Hin) telah ditubuhkan. Persidangan pertama Majlis tersebut telah diadakan di Kuala Kangsar pada 10 September 1877 bagi merundingkan dasar-dasar kerajaan Negeri Perak.

Dalam masa baginda berjawat sebagai Pemangku Raja, banyak lombong bijih timah telah dibuka di daerah Kinta. Orang Cina telah datang beramai-ramai ke daerah Kinta untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah. Demikian pula, orang-orang rumpun bangsa Melayu dari Sumatera, Jawa dan Kalimantan datang ke Perak untuk mencari kerja di lombong-lombong. Pada bulan Jun 1885, jalan keretapi yang pertama di Tanah Melayu dari Taiping ke Port Weld (sekarang dikenali Kuala Sebatang) telah dibina dan beroperasi. Seperti yang telah dinyatakan di atas, pada 7 Oktober 1886, baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Perak dan bersemayam di Sayong Tebing. Pada masa yang sama, Raja Bendahara Raja Idris pula diangkat menjadi Raja Muda Perak.